Sunday, January 17, 2010

Polis bantuan maut dirempuh mahasiswa panik


Di tempat kejadian
(amik dari>>) http://siputturbos.blogspot.com


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Akibat panik dan ketakutan dicekup berkhalwat dalam kawasan kampus, seorang mahasiswa yang sedang berdua-duaan dengan pasangannya dalam kereta bertindak memecut kenderaannya untuk melepaskan diri.

Tindakannya dalam keadaan tergesa-gesa itu bagaimanapun mengundang padah apabila pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi dekat sini itu gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan merempuh pagar keselamatan di pintu utama universiti tersebut.

Rempuhan kuat itu mengakibatkan pagar besi di situ tumbang lalu mengenai kepala seorang polis bantuan yang kebetulan berada di situ sehingga mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.

Malangnya, setelah dua hari bertarung nyawa, mangsa, Mohd. Sufian Khamis, 25, gagal diselamatkan dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4.30 petang ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, polis menerima dua laporan berkaitan insiden kemalangan itu pada Khamis lalu iaitu daripada mahasiswa terbabit dan penyelia polis bantuan universiti tersebut.

Katanya, kemalangan membabitkan mahasiswa tahun dua dari Fakulti Teknologi Maklumat itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.30 pagi.

"Mengikut laporan, mahasiswa berusia 20 tahun yang memandu kereta Perodua Viva bersama seorang mahasiswi itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya semasa mahu keluar dari kawasan kampus.

"Keretanya terbabas lalu melanggar pagar besi di situ lalu mengenai seorang polis bantuan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan tetapi dipindahkan ke HKL selepas itu.

Selepas dua hari bertarung nyawa, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia hari ini.

Che Hussin berkata, polis sudah mengambil keterangan daripada mahasiswa terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kecuaian menyebabkan kematian.

Dalam kejadian berasingan, katanya, seorang wanita Indonesia yang bekerja menjual pisang goreng di tepi jalan maut dirempuh sebuah kereta di Jalan TK4, Taman Kinrara, Puchong, dekat sini semalam.

"Mangsa yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan dikenali sebagai Siti sedang menjual pisang goreng di tepi jalan apabila dirempuh oleh sebuah kereta Proton Wira dipercayai dipandu laju dan hilang kawalan.

"Akibatnya, mangsa tercampak kira-kira dua meter dari gerainya dan terhumban masuk ke dalam longkang sedalam lima meter berhampiran tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mangsa mati dalam perjalanan ke Hospital Serdang akibat cedera parah di kepala manakala pemandu kereta gagal dikesan sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau merayu pemandu terlibat dalam kemalangan tersebut supaya tampil membuat laporan untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Rasha Azrul Shaffi di talian 03-894 2222.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0117&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_05.htm&arc=hive

No comments: